INKUES KEMATIAN ADIK ZARA QAIRINA: SELEPAS HARI HARI BERLALU, INI ANTARA FAKTA PENTING HARUS KITA KETAHUI DARI 8 SAKSI UTAMA - KOTA KINABALU SABAH MALAYSIA
KUALA LUMPUR: Inkues bagi mencari punca kematian Zara Qairina Mahathir, 13, di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu, Sabah, masuk hari ke-10 semalam selepas bermula pada 3 September lalu.
Prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan yang bertindak sebagai koroner, menyenaraikan 70 saksi akan dipanggil memberi keterangan pada inkues ditetapkan 3 dan 4 September, 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September dan 22 hingga 30 September.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha itu ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu pada 17 Julai.
Lapan saksi sudah memberi keterangan ialah Pakar Patologi Forensik HQE, Dr Jessie Hiu; Pemeriksa Dokumen di Bahagian Pemeriksaan Dokumen, Pusat Analisis Sains Forensik, Jabatan Kimia Malaysia, Nurul Atiqah Mohd Noh; Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma HQE, Dr Janefer Voo dan Pegawai Perubatan Jabatan Neurosurgeri HQE, Dr Pavankumar Balachandran.
Selain itu, Pegawai Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Inspektor Maidon Bernadus; Pengawal keselamatan di SMKA Tun Datu Mustapha, Linah Mansoding @ Jaliha; Pegawai Perubatan Forensik HQE, Dr Logaraj Ratha dan Ketua Warden Asrama SMKA Tun Datu Mustapha, Azhari Abd Sagap.
Berikut antara fakta penting keterangan lapan saksi berkenaan.
SAKSI KELAPAN: Azhari Abd Sagap
Isu diari arwah
• Saksi memaklumkan pihaknya mahu tahu kandungan diari Zara Qairina kerana Noraidah Lamat, iaitu ibu arwah berulang kali menyebut mengenai dokumen itu, namun beliau mengakui tiada siapa memberi kebenaran kepada mereka untuk membacanya.
• Menjelaskan barangan milik arwah, termasuk sebuah diari bertulis Love and Peace, diserahkan kepada ibu arwah selepas dikemas daripada bilik isolasi asrama. Mengakui pertama kali melihat gambar diari terbabit pada prosiding 18 September, tidak pernah melihatnya sebelum itu.
• Menyatakan semua barangan di lokar Zara Qairina diberi kepada ibu arwah, kecuali diari yang dijumpai guru bernama Cikgu Miswati bersama dua pelajar ketika mengemas lokar atas arahannya. Beliau juga ingat bahawa dompet arwah juga ada dalam lokar dengan baki wang RM7.
• Menjelaskan 15 helaian kertas dipercayai mengandungi tulisan arwah ditemui di rak buku kayu di belakang kelas arwah yang tidak berkunci dan boleh diakses sesiapa. Mengakui tidak logik diari arwah disimpan di rak buku terbuka, tetapi menegaskan helaian tulisan itu memang ditemui di situ dan kemudian diserahkan kepada polis bersama gambar kedudukan rak.
Kisah 'Pelajar A'
• Seorang pelajar dirujuk sebagai A mengambil cuti sakit lebih dua minggu dengan tarikh berasingan selepas insiden malang menimpa arwah Zara Qairina pada 16 Julai lalu. Pelajar A seorang daripada lima remaja yang didakwa berhubung kes buli Zara Qairina.
• Sijil cuti sakit diperolehi daripada Klinik Kesihatan, yang pertama dari 28 Julai hingga 4 Ogos lalu dihantar pada 28 Julai, manakala yang kedua bermula 8 hingga 18 Ogos dihantar pada 7 Ogos dan pada 11 Ogos, ibu pelajar A memaklumkan akan datang ke sekolah untuk mengambil semua barang anaknya.
• Azhari berkata beliau mengetahui pelajar A ada melihat Zara Qairina diletakkan di tepi rumah warden, iaitu laluan antara bangunan Blok A ke Blok B sebelum ambulans tiba di asrama berkenaan dan tidak tidak menunjukkan tanda trauma.
• Dakwa ketua warden asrama itu lagi, dalam gambar dirakam oleh Linah ketika pelajar A dan seorang lagi pelajar diminta datang ke sekolah untuk diambil keterangan, pelajar A menunjukkan tanda peace.
• Azhari juga memberitahu mahkamah bahawa pelajar A yang dimaklumkan oleh ibu arwah bahawa dia kawan baik anaknya, telah berpindah sekolah beberapa minggu selepas kejadian menimpa Zara Qairina, namun tidak tahu alasan perpindahan itu.
Istilah 'MA' dan tuduhan mencuri
• Azhari memberitahu Mahkamah Koroner bahawa istilah 'MA' yang digunakan pelajar merujuk kepada "Mesyuarat Asrama", bermaksud perjumpaan ramai pelajar, bukannya sesi memanggil serta menyoal seorang pelajar secara peribadi dan beliau tidak tahu mengapa wujud sesi itu.
• Beliau difahamkan tindakan pelajar senior itu adalah melakukan siasatan terhadap kes curi membabitkan Zara Qairina, sekadar bertanya 'betul atau tidak kau (Zara Qairina) mencuri,'.
• Sebelum itu, pengawal keselamatan sekolah, Linah Mansoding mengesahkan wujud budaya 'MA', iaitu sesi perjumpaan antara pelajar senior dan junior di asrama sekolah itu dan tidak menolak kemungkinan Zara Qairina turut dipanggil menghadiri sesi berkenaan.
Isu 'Kak M'
• Azhari memaklumkan cerita mengenai 'Kak M' bermula sejak Mei lalu mengikut hasil siasatan pihak sekolah dan mempersoalkan kenapa Noraidah berdiam diri tidak membuat sebarang laporan kepada pihak sekolah walaupun anaknya dikatakan pernah mengadu mengenai masalah dihadapi di asrama.
• Dakwanya, ibu Zara Qairina juga tidak pernah menceritakan sebarang insiden buli kepadanya ketika mereka bertemu di unit kecemasan hospital selepas pelajar itu dimasukkan ke situ dan dakwaan berkenaan hanya diketahui selepas Noraidah membuat hantaran dalam TikTok.
• Sebelum ini, warganet menuduh 'Kak M' sebagai individu terbabit dalam kes membuli Zara Qairina susulan tular rakaman audio perbualan antara arwah dengan ibunya, dalam media sosial.
• Azhari memberitahu 'Kak M' adalah pelajar yang baik dan bukan individu yang wajahnya tular di media sosial dengan tuduhan terhadap pelajar itu disifatkannya sangat zalim hanya kerana dia orang pertama menjumpai Zara di bawah bangunan asrama.
Dakwaan ugutan, sembunyi kebenaran
• Azhari memberitahu bahawa 'Kak M' membuat kenyataan 'berbaur ugutan' dengan kata-kata 'kalau aku touch-touch kau ini, berdarah kau ni' terhadap arwah Zara Qairina kerana berada dalam keadaan emosi tidak stabil selepas tahu adik perempuannya dikatakan diejek oleh arwah dan seorang lagi pelajar .
• Terhadap dakwaan pihak pengurusan SMKA Tun Datu Mustapha dan kakitangannya tidak pernah cuba menyembunyikan kebenaran di sebalik kematian Allahyarham, Azhari menegaskan, mereka tidak pernah cuba melindungi pembuli atau pembunuh Zara Qairina.
• Beliau yang mengalirkan air mata ketika inkues berkata walaupun berusaha menyelamatkan arwah pada 16 Julai, menemani Zara Qairina dan ibunya di hospital, hadir ke pengebumian pelajar itu di Sipitang dan memberi kerjasama penuh kepada polis, beliau dan pihak sekolah tetap menerima kecaman.
Aduan buli
• Azhari menegaskan tidak pernah menerima sebarang aduan buli membabitkan Zara Qairina daripada mana-mana pihak sebelum ini, juga tidak pernah menerima aduan daripada ibu bapa arwah atau aduan bahawa Zara Qairina dibuli oleh empat remaja (B, C, D dan E) dan tiada pelajar memaklumkan kepadanya mengenai buli oleh B, C, D atau E semasa berada di lokasi kejadian.
• Menyatakan tiada pelajar memaklumkan bahawa Zara Qairina dipukul di kepala, sama ada di lokasi kejadian atau selepas 16 Julai dan selepas kejadian juga, tiada pelajar tampil membuat aduan bahawa arwah dibuli senior, ditolak, dibuang dari tingkat tiga atau dibunuh senior.
• Hanya tahu isu selepas melihat posting ibu arwah di TikTok, namun tidak pasti sama ada ia berunsur buli atau tidak. Menyifatkan tuduhan di media sosial bahawa CCTV di asrama dipotong bagi melindungi pembuli sebagai fitnah dan tidak betul kerana memang tiada CCTV dipasang di asrama dan perkara itu bukan bidang kuasanya.
SAKSI KETUJUH: Dr Logaraj Ratha
• Sekitar jam 5 petang, 17 Julai 2025, Dr Logaraj dimaklumkan mengenai kematian di Wad Neurosurgeri HQE yang membabitkan siasatan polis dan mayat Zara Qairina dipindahkan dari wad ke Jabatan Perubatan Forensik.
• Dr Logaraj memaklumkan perkara itu kepada pakar patologi forensik bertugas ketika itu, Dr Ding Chee Swan, selain menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Wong Yew Zhung dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Papar.
• Inspektor Wong memaklumkan telah berjumpa Dr Pavankumar Balachandran, pegawai perubatan bertugas di Jabatan Neurosurgeri yang mengesahkan punca kematian Zara Qairina ialah kecederaan otak traumatik teruk dengan hypoxic ischaemic encephalopathy.
• Inspektor Wong memberitahu perlu merujuk pihak atasan sebelum memberi maklum balas lanjut dan kemudian memaklumkan polis tidak akan mengeluarkan Borang Pol. 61 (Permintaan untuk Bedah Siasat). Dr Logaraj menerima surat pelepasan / kebenaran daripada Inspektor Wong untuk menyerahkan jenazah kepada Noraidah tanpa melalui proses bedah siasat undang-undang.
Tidak mahu bedah siasat
• Dr Logaraj bertemu Noraidah dan kakak iparnya, Nur Shira serta memaklumkan bahawa polis tidak mengeluarkan Borang Pol. 61, namun menerangkan kepada mereka keperluan dan kepentingan bedah siasat yang masih boleh dijalankan dengan persetujuan waris.
• Noraidah diberi masa secukupnya untuk membuat keputusan, kelihatan tenang dan diberi ruang untuk berfikir sebelum membuat keputusan, namun memutuskan bedah siasat tidak dilakukan walaupun sudah diberi penerangan.
• Berikutan itu, pihak hospital menyerahkan jenazah kepada Noraidah selaras dasar jabatan dan hospital bersama Surat Akuan Enggan Bedah Siasat Mayat Atas Kemahuan Sendiri.
SAKSI KEENAM: Linah Mansoding @ Jaliha
• Bertugas di asrama perempuan pada 15 Julai, bermula jam 8 malam hingga 8 pagi keesokannya dan sekitar jam 3 pagi, seorang pelajar senior datang memaklumkan ada pelajar pengsan di longkang berhampiran Blok Rabiatul Adawiyah.
• Bergegas ke lokasi dan melihat Zara Qairina terlentang di longkang tidak sedarkan diri, masih bernafas dengan tengkuk berdarah lalu menghubungi Azhari dan kemudian mengambil sekeping gambar arwah sebelum menghubungi hospital dan ambulans datang sekitar jam 4 pagi.
• Menjelaskan pelajar yang memaklumkan kejadian itu datang seorang diri tanpa ditemani pelajar lain, manakala blok asrama tempat kejadian tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan tiada gril keselamatan di koridor.
• Menyatakan telefon awam di kawasan asrama ditutup 48 jam selepas kejadian 16 Julai dengan mematikan suis atas arahan ketua warden kerana pelajar banyak menghubungi ibu bapa mereka. Blok A mempunyai tiga telefon awam dan Blok B juga tiga.
SAKSI KELIMA: Inspektor Maidon Bernadus
• Menunjukkan kepada Mahkamah Koroner patung yang digunakan ketika menjalankan simulasi kejadian di asrama. Patung yang ditunjukkan kelihatan rosak dengan bahagian kepala terpisah daripada badan serta kedua-dua kaki patah.
• Simulasi bermula jam 3 pagi dengan bantuan cahaya lampu bangunan asrama serta lampu tambahan forensik. Patung berat asal 10 kilogram (kg) digunakan, ditambah pemberat batu bata di bahagian pinggang hingga ke bawah sehingga jumlah keseluruhan kira-kira 53kg, tinggi patung 180 sentimeter (sm), iaitu lebih 27sm daripada ketinggian Zara Qairina.
• Memaklumkan Zara Qairina dipercayai kali terakhir dilihat di tandas tingkat tiga asrama sebelum ditemui tidak sedarkan diri di tingkat bawah bangunan pada awal pagi 16 Julai berdasarkan siasatan awal Inspektor Wong.
• Tugas mengesan cap jari, kesan tapak kaki, darah atau tompokan darah tidak dijalankan pasukannya kerana ia siasatan susulan. Dua siasatan tempat kejadian terdahulu sudah dilakukan oleh Inspektor Alif dari Unit Forensik IPK Sabah.
SAKSI KEEMPAT: Dr Pavankumar Balachandran
• Menjelaskan punca utama kematian Zara Qairina ialah kecederaan otak traumatik teruk dengan komplikasi hypoxic-ischemic encephalopathy (HIE) iaitu kecederaan otak akibat kekurangan oksigen (hipoksia) dan aliran darah (iskemia) ke otak.
• Mangsa dikesan mengalami pendarahan teruk dalam otak serta tiada tindak balas otak sebaik tiba di hospital. Keadaan Zara Qairina merosot selepas dimasukkan ke HQE dan meninggal dunia pada 17 Julai, jam 1.07 tengah hari selepas dua hari dirawat pasukan pakar.
• Kematian dimaklumkan kepada pegawai penyiasat dan mayat disimpan di wad sehingga ketibaan pegawai penyiasat.
• Dimaklumkan kronologi insiden menimpa Zara Qairina sehingga dihantar ke Jabatan Kecemasan HQE jam 4.38 pagi oleh pasukan Pre-Hospital Care (PHC) Klinik Kesihatan Kinarut. Trauma alert diaktifkan jam 4.42 pagi.
Pemeriksaan neurosurgeri
• Pemeriksaan awal pasukan neurosurgeri mendapati mangsa sudah dalam keadaan intubasi, tidak menunjukkan sebarang tindak balas neurologi, bergantung sepenuhnya kepada mesin bantuan pernafasan, tahap kesedaran pada skala paling rendah dan anak mata kekal membesar tanpa refleks otak.
• Pemeriksaan luaran menemui bengkak dan luka koyakan pada bahagian belakang kepala yang telah dijahit bagi menghentikan pendarahan.
• Hasil imbasan CT scan otak menunjukkan pendarahan akut pada subarachnoid di kedua-dua belah hemisfera otak, pendarahan subdural di beberapa bahagian termasuk fissura interhemisferica dan tentorium cerebelli, selain tanda awal herniasi tonsillar di foramen magnum.
• Laporan perubatan turut merekodkan kehilangan kejelasan antara bahan kelabu dan putih otak, tanda kerosakan neurologi kritikal.
SAKSI KETIGA: Dr Janefer Voo
• Menyatakan tiada kesan lebam atau tanda penderaan pada tubuh pesakit ketika Zara Qairina tiba di HQE dan beliau menerima pesakit yang dalam keadaan tidak sedarkan diri pada jam 4.38 pagi 16 Julai.
• Antara kecederaan dialami mangsa adalah bengkak dan pendarahan di bahagian belakang kepala, patah tertutup pada pergelangan tangan kiri, patah terbuka pada pergelangan kaki kiri, patah tertutup pada pergelangan kaki kanan.
• Selepas pemeriksaan, trauma alert diaktifkan di Jabatan Kecemasan HQE pada jam 4.42 pagi 16 Julai bagi rujukan segera kepada pasukan Neurosurgeri, Ortopedik, Pembedahan dan Anestesiologi.
Kecederaan Zara Qairina
• Berdasarkan penilaian awal, pesakit disyaki mengalami kecederaan otak trauma yang serius, kecederaan di bahagian belakang kepala, patah kedua-dua pergelangan kaki serta pergelangan tangan kiri dan pendarahan dalaman akibat trauma impak tinggi pada badan.
• Menyatakan tekanan darah pesakit terlalu rendah, disyaki akibat kecederaan dalaman, namun tidak mengesan kesan lebam atau tanda penderaan pada tubuh pesakit.
• Selepas proses resusitasi dan pengimejan, pesakit didapati mengalami pendarahan dalam otak, patah terbuka pada pergelangan kaki kiri dan tumit kiri, patah tertutup pada lengan kiri dan kaki kanan, patah tulang lumbar vertebrae 2, 3 dan 4, pembekuan darah pada tulang pelvis dan otot psoas kiri.
SAKSI KEDUA: Nurul Atiqah Mohd Noh
• Menjelaskan sebanyak 21 beg barang kes PDRM mengandungi kertas bertulisan tangan diserahkan kepada Jabatan Kimia Malaysia, Petaling Jaya dan beliau membuat pengecaman semula dokumen terbabit di Mahkamah Koroner.
• Dokumen diperiksa termasuk helaian kertas bertulisan tangan yang ditanda 'Y' serta buku latihan, buku kerja dan buku nota milik Zara Qairina yang ditanda 'W' bagi membandingkan tulisan tangan dengan contoh tulisan yang ada untuk menentukan sama ada ia milik arwah atau bukan.
• Memeriksa dan membuat perbandingan antara tulisan dipertikaikan dan contoh tulisan Zara Qairina menggunakan kanta pembesar dan peralatan saintifik Video Spectral Comparator.
• Beberapa perenggan tulisan tangan Zara Qairina yang menyuarakan ketidakpuasan hati kepada ibu dibacakan di mahkamah dan saksi mengesahkan ia tulisan arwah kerana cirinya sama dengan tulisan pada buku yang bertulis nama arwah.
• Mendedahkan sebuah buku bertanda 'W3' mengandungi dua gaya tulisan tangan berbeza dan ada dua nama sebagai pemilik, ditulis oleh Zara Qairina dan seorang lagi individu secara bersilih ganti pada tarikh berbeza.
SAKSI PERTAMA: Dr Jessie Hiu
• Bedah siasat tidak mengesan dadah biasa dalam tubuh arwah, tetapi Phenytoin, iaitu ubat antisawan untuk merawat epilepsi, juga biasa diberi sebagai rawatan pencegahan dalam kes kecederaan otak traumatik teruk bagi mengurangkan risiko sawan awal selepas trauma, dikesan dalam tisu buah pinggang.
• Hasil pemeriksaan tidak menunjukkan sebarang pembengkakan, lebam, lecetan, koyakan atau kecederaan lain dan keadaan selaput dara didapati utuh.
• Merumuskan Zara Qairina tidak mungkin terjatuh secara tidak sengaja atau ditolak dari koridor tingkat tiga asrama sekolah berdasarkan pemeriksaan lokasi dan perbandingan ketinggian mangsa dengan pagar konkrit koridor.
• Mengenai dakwaan Zara Qairina dimasukkan ke dalam mesin basuh, Dr Jessie menyatakan mustahil untuk menghidupkan mesin basuh jika seseorang dengan berat 53 kilogram dimasukkan ke dalamnya.
• Menyerahkan kepada Mahkamah Koroner untuk menentukan sama ada Zara Qairina jatuh kerana membunuh diri atau atas kerelaan sendiri.
>>>MORE ARTCLE JUST CLICK HERE AND READ<<<
https://www.jacknjillscute.com/2025/09/viral-kes-zara-qairinia-plot-twist.html
https://www.jacknjillscute.com/2025/09/viral-pakar-patologi-sahkan-zara.html
https://www.jacknjillscute.com/2025/09/after-zara-qairina-was-found-bleeding.html
https://www.jacknjillscute.com/2025/09/2-new-key-findings-experts-revealed-at.html
https://www.jacknjillscute.com/2025/09/viral-inkues-kematian-zara-qairina.html
@Jr_Paku Midin Channel
https://www.jacknjillscute.com/2025/09/japanese-youth-messengers-for-peace.html
返信削除https://www.jacknjillscute.com/2025/09/okinawa-unveils-draft-ordinance-on.html
返信削除https://www.jacknjillscute.com/2025/09/viral-inkues-kematian-zara-qairina.html
返信削除